Monday, May 25, 2009

Mahathirism - Apakah Satu Kesilapan?

1. Saya baru selesai membaca blog Tun mengenai tajuk di atas. Kadang-kadang kita hairan mengapa di dalam sosio budaya Melayu, orang suka membuat perbandingan yang tidak perlu. Apa yang perlunya mempersoalkan Mahathirsm itu? Apabila kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang sepintar beliau maka kita dapati pentadbiran negara berjalan dengan baik, banyak pembangunan dilakukan dan pada masa yang sama ekonomi berkembang dengan baik.Peluang pekerjaan juga dapat diujudkan dengan banyak. Ini semua menyumbang kepada keadaan negara yang stabil dan makmur. Selain itu juga imej negara kita dipandang tinggi oleh dunia. Jadi apa yang silapnya mengenai Mahathirisme itu? Politik ini kadangkala memeningkan apabila ahli-ahli politik lebih berminat 'berpolitik' untuk kepentingan peribadi daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ahli politik sejati. Sebab itu mengapa seringkali kita dapati di sesetengah tempat, politik dikuasai oleh mereka yang punyai banyak wang dan berpengaruh berbanding mereka yang mempunyai kepandaian dan kebolehan yang memberi manfaat penduduk setempat.


2. Hari ini seluruh rakyat menaruh harapan kepada gandingan YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin untuk mengemudi negara menghadapi cabaran krisis ekonomi global. Sehubungan dengan itu kita dapat melihat beberapa langkah telah diambil untuk meminumkan kesan tersebut kepada rakyat kita. Biarpun begitu, pihak pembangkang masih juga tidak berpuas hati dan menuduh kerajaan yang diterajui oleh BN lembap dan tidak membuat tindakan yang mencukupi. Kalau kita perhatikan pada tahun 1998 dahulu apabila kerajaan mengambil langkah untuk menambat nilai matawang kita kepada dolar Amerika, seluruh dunia mengecam tindakan tersebut. Kemudian apabila kerajaan mengambil langkah untuk menyelamatkan syarikat-syarikat penting negara, sekali lagi kita dikecam oleh pakar ekonomi dunia kerana mengambil langkah yang tidak popular. Hari ini sesudah 10 tahun berlalu sejarah akhirnya membuktikan langkah yang diambil oleh kerajaan kita di bawah kepimpinan Tun Mahathir dahulu, adalah langkah pintar yang telah menyelamatkan kita daripada cengkaman IMF. Jika tidak sudah tentu ekonomi kita akan mengalami nasib yang sama seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Dan jangan pula kita lupa bahawa orang yang beriya-iya untuk mengambil pakej IMF sebagai jalan penyelesaian ketika krisis ekonomi tersebut bukankah Anwar Ibrahim?

3. Sejarah tidak akan berbohong, kecuali fakta sejarah itu dipalsukan. Sejarah telah menulis bahawa Malaysia telah berada di puncak kegemilangan di bawah era Mahathirisme. Selama 22 tahun di bawah era Mahathirism Malaysia berjaya menukar imej daripada negara yang bergantung kepada hasil pertanian kepada negara industri perkilangan. Kepimpinan beliau telah mengubah senario penduduk Malaysia daripada golongan petani, penoreh getah dan nelayan kepada masyarakat Melayu baru yang terdiri daripda peniaga-peniaga kelas menengah, ahli-ahli professional serta golongan koperat. 22 tahun bukan jangkamasa yang lama untuk kita melupai sejarah tersebut. Kecualilah kita benar-benar seorang yang buta hati atau dungu ! Sejarah juga nanti akan menulis bagaimana kemakmuran negara yang kita cintai ini dimusnah dan diporak perandakan oleh seorang insan yang menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan UMNO iaitu Anwar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment