Sunday, May 24, 2009

Persidangan Caw. Pemuda Sudah Bermula!

Assalamualaikum wbt.

1. Petang tadi 2 cawangan Pemuda UMNO kita telah selesai mengadakan persidangan masing-masing sebagaimana yang dijadualkan. Saya bersama Ketua Pemuda En. Mesnor dan beberapa exco bahagian turut serta menjadi pemerhati persidangan tersebut. Walaupun berjalan dengan agak sederhana dengan korum yang cukup-cukup, tapi apa yang penting persidangan telah dapat diadakan dengan sempurna. Cuma maaflah kerana kami tidak dapat lama berada di persidangan cawangan anda kerana terpaksa menunjuk muka di cawangan pemuda yang lain pula.

2. Melihatkan perjalanan mesyuarat pemuda cawangan petang tadi, saya terkenang kepada waktu mula-mula saya menyertai pergerakan Pemuda UMNO kira-kira 15 tahun yang lalu dan dilantik menjadi Ketua Pemuda Cawangan pada usia yang begitu muda. Oleh yang demikian saya faham perasaan sesetengah ketua pemuda yang berumur di awal 20-an. Segalanya kelihatan samar-samar, tapi tak mengapalah, insya Allah dalam sedikit masa lagi Biro Penerangan akan mengadakan kursus kepimpinan asas kepada semua Ketua Pemuda dan barisan exco masing-masing. Pada masa ini saya masih meneliti module kursus tersebut dan masih berbincang mengenai isi kandungan yang sesuai untuk kita semua.

3. Ada beberapa perkara yang disentuh oleh Sdr. Mesnor dalam ucapan perasmian mesyuarat pemuda cawangan petang tadi. Pertamanya beliau meminta setiap cawangan pemuda untuk mencari sekurang-kurangnya 10 orang untuk didaftarkan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). Ini adalah kerana tidak lama lagi juga kita akan mengadakan kempen pendaftaran pengundi. Keduanya beliau berharap agar semua pemuda dapat menggunakan blog Pemuda UMNO Tg. Piai sebagai medium yang dapat menghubungkan terus suara akar umbi dengan peringkat kepimpinan bahagian. Jika sebelum ini barangkali ada masalah atau perkara berbangkit yang tidak dapat dibawa terus kepada pihak pentadbiran pemuda bahagian atas alasan-alasan tertentu, maka kewujudan blog ini diharap memungkinkan perkara tersebut tidak berlaku lagi. Seterusnya beliau memaklumkan bahawa laman web rasmi Pemuda Bahagian Tg. Piai yang baru masih lagi dalam proses penyiapan dan ia sedang diuruskan oleh biro ICT yang diketuai oleh Sdr. Norafandi. Diharapkan selepas laman web tersebut disiapkan nanti, ia akan membawa dimensi dan era teknolgi yang baru kepada pergerakan Pemuda UMNO Tg. Piai ini. Perkara yang terpenting yang beliau harapkan ialah penubuhan persatuan belia bagi setiap cawangan pemuda UMNO. Oleh itu mana-mana cawangan pemuda yang mempunyai masalah dalam menubuhkan persatuan belia bolehlah terus berurusan dengan Sdr. Fairus Bin Jasa, Setiausaha Pemuda UMNO bahagian.

4. Kepada mana-mana cawangan yang masih belum bersidang, sebagaimana yang saya peringatkan sebelum ini, sila berhubung dengan Sdr. Fairuz Jasa iaitu Setiausaha Pemuda Bahagian. Insya Allah beliau akan membantu saudara semua. Kepada ahli-ahli pemuda cawangan yang telah bertemu saya petang tadi dan mempunyai alamat blog ini, rajin-rajinlah memberi respon anda untuk kebaikan bersama. Tujuan utama blog ini dilancarkan adalah semata-mata supaya kita dapat berhubung secara teknologi IT dengan berkesan. Jika ada sebarang masalah atau perkara berbangkit, jangan ragu dan segan untuk menulis di dalam blog ini.

Sekian dahulu, Salam hormat daripada saya.

Hawari Md. Khalid
Ketua Penerangan

No comments:

Post a Comment